Sebagai manusia normal, menerapkan nilai-nilai positif serta kebaikan merupakan pemangkin semangat untuk manusia itu meneruskan kehidupan di dunia yang penuh dengan pancaroba serta liku-liku hidup yang perlu ditempuhi selagi nyawa dikandung badan. Jika manusia dipisahkan daripada nilai-nilai positif atau nilai-nilai murni ini, tampak sukar untuk manusia memakmurkan bumi ini dengan baik disebabkan yang bermaharajalela ialah tangan-tangan jahat yang sentiasa ingin ‘melenyapkan’ kemegahan dan keindahan dunia ini secara tidak langsung. Maka dengan itu, perlu untuk kita melihat kepada naratif yang membawa kepada natijah yang baik dan berkesan dalam melestarikan kehidupan ini bermula daripada peringkat akar umbi dan seterusnya.
Dewasa ini, menumpukan pada skop yang lebih kecil iaitu dalam kalangan pelajar Ilmu Wahyu UIAM yang seharusnya menjadi tunjang utama dalam memperkasakan nilai-nilai murni dalam kalangan pelajar Ilmu Wahyu iu sendiri secara khususnya dan pelajar-pelajar yang mengambil jurusan lain secara amnya. Hal ini demikian kerana menjadi kewajipan buat para pelajar daripada jurusan Ilmu Wahyu ini menjadi contoh teladan sesama mereka dari pelbagai aspek terutamanya keilmuan, akhlak dan adab serta nilai-nilai murni yang menjadikan mereka terkehadapan dan dinilai oleh masyarakat sekeliling. Justeru, mengabaikan aspek-aspek penting ini menjadikan ‘cop’ pelajar Ilmu Wahyu yang dilekat di dahi mereka itu sia-sia dan tiada nilai. Nabi Muhammad SAW bersabda:
“Sesiapa yang menunjukkan kebaikan kepada orang lain, maka pahalanya sama bagi pelakunya tersebut”
Berpandukan hadis ini, para pelajar perlu mengambil semangat untuk menyebarkan kebaikan, manfaat dan faedah kepada orang lain sekadar kemampuan dan kudrat mereka kerana mereka merupakan ikonn yang perlu diikuti jejak langkahnya tidak kira daripada sudut ilmu, moral dan keperibadian.
Selain itu, antara kebaikan mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan ialah dapat mengeratkan perpaduan masyarakat majmuk di Malaysia. Dalam usaha untuk mencapai kehidupan yang bertamadun, penghayatan nilai-nilai murni oleh masyarakat majmuk perlulah dipupuk supaya dapat membendung gejala sosial yang berlaku dalam masyarakat hari ini. Sebagai contoh, rakyat Malaysia hendaklah saling hormat-menghormati dan bertoleransi antara satu sama lain sama ada Melayu, Cina mahupun India dengan menghormati kepercayaan, adat dan budaya berlainan kaum supaya dapat mengelakkan salah faham dan persengketaan. Oleh itu, nilai murni bertoleransi dapat mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat di Malaysia. Kita dapat juga melihat bagaimana Islam menggalakkan untuk kita saling memupuk perpaduan dengan saling kenal-mengenali antara bangsa dan kaum lain melalui firman Allah Ta’ala di dalam surah Al-Hujurat ayat 13:
“Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya kami telah menciptakan kamu daripada lelaki (Adam) dan perempuan (isterinya) dan Kami telah jadikan kamuberpuak-puak dan bersuku-suku agar kamu saling mengenali;”
Seterusnya, Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations Development Programme-UNDP) bertanggungjawab untuk merealisasikan penyelesaian dalam mengahadapi cabaran pembangunan masyarakat sebagai usaha untuk menuju kepada Matlamat Pembangunan Lestari (Sustainable Development Goals-SDG). Nilai integrasi yang dibawakan oleh SDG memfokuskan kerjasama antara kerajaan, swasta dan masyarakat supaya dapat bersatupadu demi generasi baru pada masa hadapan. Hal ini demikian kerana, 17 matlamat yang diadaptasikan daripada SDG telah memperkenalkan bahawa pembangunan yang lestari hendaklah menyeimbangkan sosial, ekonomi dan alam sekitar serta tindakan sesuatu tempat akan memberikan kesan kepada yang lain. Keunikan daripada SDG dapat dilihat apabila ianya meliputi isu-isu yang memberikan kesan kepada manusia yang disebabkan oleh kemiskinan, kebuluran dan diskriminasi terhadap wanita.
Akhir kata, menyebarkan serta menyemarakkan nilai-nilai murni dan positif merupakan satu perbuatan yang mulia dan perlu dipupuk serta diperkasakan di semua peringkat bermula daripada individu sehingga ke peringkat tertinggi iaitu global dalam memastikan keseimbangan struktur sosial masyarakat, ekonomi serta alam sekitar yang merupakan keperluan fundamental manusia pada abad ini.
Written by:
Putera Abdul Afif Azim bin Mohamad Yunus
Comments