top of page
Search
Writer's picturegombaksejahtera4u

Nilai-nilai Murni


Saya Siti Nur Fatihah binti Ahmad Nasri, pelajar tahun kedua semester pertama di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Dapat memasuki universiti adalah satu kebanggaan bagi diri saya dan ibu bapa saya kerana saya tahu ramai lagi pelajar di luar sana yang ingin menyambung pelajaran ke universiti tetapi tidak mendapat peluang, jadi saya sangat bersyukur kepada Allah SWT kerana saya mendapat peluang ini. Persekitaran dan suasana di universiti amatlah jauh berbeza dengan suasana di sekolah menengah. Iaitu dari segi pemakaian, kaedah pembelajaran dan banyak lagi. Ini membuatkan saya lebih berdikari untuk menguruskan diri saya ketika di universiti. Tetapi disebabkan Malaysia dilanda pandemik dan dilaksanakan perintah kawalan pergerakan. Semua universiti terpaksa ditutup.


Ketika universiti ditutup dan semua pelajar harus pulang ke rumah masing-masing. Kami mendapat cuti yang agak lama sebelum pihak universiti mengumumkan pembelajaran dalam talian. Saya sangat bersyukur ketika mengetahui berita itu kerana ketika cuti amatlah membosankan kerana hanya berada di rumah. Semasa pembelajaran dalam talian, saya melihat banyak ragam pelajar seperti ada yang lambat mengikuti kelas dalam talian, kerap tidak mengikuti kelas, masalah internet dan banyak lagi. Berdasarkan pemerhatian saya, pensyarah-pensyarah saya bersungguh-sungguh memberikan saya dan pelajar-pelajar lain ilmu walaupun mereka juga mempunyai kesibukan sendiri seperti harus mengurus anak-anak kecil mereka. Jadi disebabkan itu, saya sentiasa akan memastikan diri saya akan mengikuti setiap kelas mereka. Ini juga adalah tanda saya menghormati mereka sebagai guru dan menghargai pengorbanan mereka.


Sepanjang pembelajaran dalam talian, jujurnya saya tidak mengenali semua rakan kelas saya. Ketika saya mendapat tugasan berkumpulan dari pensyarah, saya sentiasa berasa risau dengan siapa saya harus bekerjasama kerana bagi saya agak susah untuk berurusan dengan orang yang tidak kenal apatah lagi tidak boleh berjumpa kerana masing-masing berada di rumah. Pada awalnya, saya rasa ingin berputus asa kerana susah untuk berkomunikasi dengan ahli kumpulan, bahkan saya juga merasakan ada yang seperti lepas tangan dari tanggungjawab. Tetapi setelah saya merenung diri, saya sedar saya harus mengubah cara dan sikap saya ketika melakukan kerja secara berkumpulan. Di sini, saya belajar cara untuk lebih bertolak-ansur dengan ahli kumpulan, saling memahami dan saling tolong-menolong antara satu sama lain kerana di waktu pandemik ini walaupun masing-masing berada di rumah, kita tidak tahu masalah apa yang sedang dihadapi mereka.


Sewaktu peperiksaan akhir, saya rasa agak mencabar kerana tiada sesiapa yang memerhatikan saya jika dibandingkan dengan peperiksaan akhir di universiti, pelajar akan berada didalam satu dewan dan diawasi oleh pengawas-pengawas. Di sini, jujur dan amanah amat penting dalam diri kita. Ketika saya mendapati tidak dapat menyelesaikan soalan, saya boleh sahaja menghubungi kawan saya untuk mendapatkan jawapan daripadanya atau berbincang dengannya. Tetapi saya tahu tidak guna jika saya mendapat markah yang tinggi jika saya mendapatkannya dengan cara yang salah. oleh itu, walaupun saya melihat keputusan saya tidak sebagus seperti pelajar lain, saya tetap gembira.


Secara keseluruhannya, walaupun pembelajaran dalam talian jauh berbeza berbanding pembelajaran di universiti, di mana pelajar boleh belajar dalam kumpulan, terdapat kemudahan perpustakaan untuk mencari bahan rujukan, boleh menghabiskan masa bersama kawan untuk menghilangkan tekanan belajar dan banyak lagi. Tetapi, pada pandangan saya belajar dalam talian mempunyai sisi positifnya yang tersendiri yang boleh kita ambil.



Written by:

Siti Nur Fatihah binti Ahmad Nasri


15 views0 comments

Recent Posts

See All

Honesty

Комментарии


Post: Blog2_Post
bottom of page