top of page
Search
  • Writer's picturegombaksejahtera4u

Nilai-nilai Positif



Nilai-nilai positif merupakan nilai-nilai yang baik atau nilai murni yang bermaksud sifat baik, seperti hormat-menghormati dan beradab mulia sesama manusia. Namun begitu, isu salah laku disiplin,salah laku sosial sering terpapar di dada-dada akhbar atau media sosial. Hal ini disebabkan oleh longgarnya amalan nilai-nilai positif dalam diri pelaku terbabit. Ironinya, saya tidak menafikan masih ramai lagi rakyat Malaysia yang berpegang teguh kepada amalan nilai positif. Hal ini dikatakan demikian kerana kedapatan ramai individu berhati mulia serta pemurah untuk menyalurkan bantuan, baik dalam bentuk kewangan, barangan dan lain-lain. Oleh hal yang demikian, sewajarnya penerapan nilai positif dimulakan dari usia muda kerana pada usia inilah kita lebih mudah dibentuk dan pemikiran kita masih belum dicemari oleh anasir- anasir tidak baik. Pepatah Melayu juga ada menyebut, 'melentur buluh biarlah dari rebungnya'. Justeru, memang tidak dinafikan keharmonian yang dikecapi oleh rakyat Malaysia pada masa ini, adalah natijah daripada didikan yang berteraskan nilai-nilai yang positif.


Antara nilai positif yang dapat saya lihat ialah sifat bantu – membantu. Umum mengetahui rakyat Malaysia tidak lokek dalam memberikan bantuan baik dari segi kewangan, tenaga mahupun sumber mentah. Biar saya ambil contoh, sejak bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Malaysia akibat pandemik Covid-19, banyak pihak baik di peringkat individu, badan bukan kerajaan mahupun kerajaan sendiri tampil memberikan bantuan kepada mereka yang memerlukan tanpa mengira latar belakang, kaum ataupun agama. Selain menyantuni golongan rentan, semangat bermasyarakat akan terjalin dan seterusnya menyemarakkan lagi unsur perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia. Jadi, memang tidak dapat disangkal lagi, sekiranya nilai positif terus disemai dan diamalkan, maka akan lahir masyarakat yang bertoleransi, saling membantu bagai aur dengan tebing. Bahkan Islam juga mengajak penganutnya untuk berlumba-lumba dalam melakukan perkara kebaikan dan menjauhi perkara buruk ‘Amal Ma’ruf Nahi mungkar’.


Di samping itu, saya dapati sifat gigih segelintir masyarakat yang sentiasa berusaha membuat pelbagai inisiatif, sama ada dari segi advokasi kesihatan mental, kebajikan rakyat ataupun dari segenap kemasyarakatan. Misalnya, program ‘Food Bank” yang dijalankan oleh pihak masjid atau agensi swasta, ditambah pula inisiatif kerajaan melalui program ”Bakul Makanan” banyak membantu rakyat yang memerlukan bantuan makanan adalah satu usaha murni dan wajar dipuji. Tegasnya, usaha gigih pihak-pihak yang terlibat dan sifat pemurah anggota masyarakat diharapkan akan berterusan supaya dapat memberikan manfaat kepada banyak pihak, khususnya golongan rentan.


Konklusinya, nilai – nilai positif yang ada dalam masyarakat tidak dibina hanya dalam satu hari. Oleh hal yang demikian, saya berpendapat semua pihak mempunyai peranan penting dalam memastikan nilai – nilai positif yang wujud dalam masyarakat hari ini tidak lapuk dek hujan, tidak hilang dek zaman. Saya berharap generasi akan datang juga dapat menikmati suasana dikelilingi oleh masyarakat yang menghidupkan amalan atau nilai-nilai positif kerana itulah fitrah sebenar manusia.



Written by,

Nurul Asma’ binti Mohammad Amri


31 views0 comments

Recent Posts

See All

Honesty

Post: Blog2_Post
bottom of page