Tanggal 3 Disember pada setiap tahun adalah merupakan hari yang sering dinanti- nantikan oleh golongan minoriti yang terkadang dilupakan, kerana itulah hari pengiktirafan buat mereka yang digelar “Orang Kurang Upaya”. Walaupun terdapat pihak yang mentakrifkan OKU sebagai “Orang Kelainan Upaya”, namun ianya tidak menjadi permasalahan. Secara ringkasnya, OKU adalah mereka yang tidak berupaya menyertai suatu aktiviti secara berkesan disebabkan oleh halangan tertentu, yang sudah pasti bukan berpunca dari kekurangan mereka, akan tetapi disebabkan oleh sikap dan persekitaran yang tidak membantu mereka untuk menyempurnakan aktiviti tersebut.
Maka jelas di sini bahawa sikap golongan tipikal sendiri yang melemahkan keupayaan golongan OKU. Namun, apa yang lebih menyedihkan adalah kelahiran mereka yang OKU ini seringkali disalah anggap dan dilabel sebagai “objek rosak” atau hanya sebagai “anak syurga” oleh sesetengah masyarakat termasuk anggota keluarga mereka sendiri serta menjadikannya sebagai alasan atau tiket untuk tidak mengendahkan kewujudan mereka. Hasilnya, anggapan dan persepsi sebegini telah menafikan kebolehan mereka sebagai manusia yang kelainan upaya bahkan menyebabkan pendekatan untuk masyarakat menyantuni mereka juga terbatas sekaligus menghilangkan hak dan kelayakan mereka dalam menjalani kehidupan seperti manusia biasa.
Tuntasnya, isu berkaitan OKU ini sudah lama diperkatakan di negara kita Malaysia, bahkan ia telah menjadi isu perbahasan dunia. Maka, amatlah tidak wajar sekiranya kita berpeluk tubuh mengabaikan tanggungjawab dalam menyantuni mereka. Hal ini amatlah bertentangan dengan fikrah ajaran Islam yang menerapkan konsep “Rahmatan Lil-’Alamin” yang pada dasarnya bermaksud hidup tidak hanya ekslusif terhadap golongan- golongan tertentu sahaja, sebaliknya inklusif untuk semua lapisan masyarakat dalam menjalani seluruh aspek kehidupan.
Oleh itu, antara konsep utama yang harus diketengahkan dalam hal ini adalah untuk membuka mata dan minda masyarakat tentang kepentingan menyantuni golongan OKU adalah konsep ‘Ruang dan Peluang’. Dengan konsep ini, kita mampu membuka seluas- luasnya ruang untuk komuniti OKU ini dalam menceburi lebih banyak bidang keilmuan disamping memberi peluang untuk mereka mengasah dan mencungkil bakat yang tersimpan sehingga kita dapat melahirkan lebih ramai figura- figura yang telah membuktikan kepada dunia bahawa komuniti OKU ini mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dalam masyarakat tipikal seperti Nick Vujicic, Stephen Hawkings, Sukur Ibrahim dan ramai lagi.
Untuk memastikan konsep ini terlaksana, setiap individu dan masyarakat harus mempunyai rasa empati yang tinggi dalam melayani mereka serta bersatu menggembleng tenaga dalam mempergiatkan usaha mempelbagaikan platform kemudahan demi membela nasib komuniti OKU ini, dengan tidak hanya mengharapkan pihak berwajib sahaja memandangkan ia tangungjawab yang perlu digalas bersama. Hal ini amat bertepatan dengan ajaran Islam, sebagaimana sabda Baginda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud “Sebaik- baik manusia adalah mereka yang memberi manfaat untuk orang lain”. Justeru sudah pastinya manfaat itu tidak hanya terhenti dalam suatu bentuk sumbangan yang tertentu sahaja, bahkan menyeluruh dari segenap sudut sama ada harta benda, wang, tenaga, masa dan sebagainya.
Konklusinya, tiada manusia yang minta dilahirkan dalam serba kekurangan baik dari segi fizikal mahupun mental. Oleh yang demikian, alangkah indahnya kehidupan ini andai kita boleh saling lengkap melengkapi antara satu sama lain, kerana hakikat sebenar kesempurnaan hanya milik Sang Pencipta.
Dikarang oleh,
Siti Nadia binti Ashari
Comentários